Oleh MAHASISWA PRIHATIN
Merujuk Utusan Malaysia bertarikh 16 Ogos 2005, halaman 16, bertajuk "Mawi dijemput sertai konsert amal di Kelantan", saya merasa terpanggil untuk melontarkan secebis pandangan.
Mawi, juara AF3 yang kini namanya meniti di bibir ribuan peminatnya, telah dipilih dan dijemput oleh kerajaan negeri Kelantan untuk menyertai Konsert Amal Tautan Kasih pada 30 September depan bertempat di Padang Perdana sekaligus beliau akan mengadakan persembahan khusus untuk anak2 yatim pada Majlis Jamuan Teh di Hotel Perdana pada sebelah petangnya.
Mengulas lanjut tentang isu ini, Husam Musa selaku Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi Kewangan dan Pembangunan Masyarakat menyatakan konsert tersebut bertujuan mengajak generasi muda menghayati cara hidup yang lebih bermakna manakala pemilihan Mawi pula setelah mengambil kira latar belakang beliau yang kini menjadi ikon golongan belia.
Bagaimanapun, persoalan yang ingin saya lontarkan di sini untuk sama-sama kita renungi ialah imej Mawi sendiri sebagai seorang artis yang dikatakan ikon para remaja kini. Beliau muncul secara mendadak dalam dunia seni dengan membawa bersamanya imej Akademi Fantasia 3, sebuah program tv realiti keluaran MAESTRO.
Terpesong
Tanpa syak lagi, program yang jauh menyimpang dan terpesong daripada suasana Islam yang syumul lagi jernih ini telah mendapat kritikan yang bertalu-talu bukan sahaja daripada kalangan alim ulamak bahkan para ilmuwan dan mereka yang prihatin dengan soal kegersangan budaya intelektual di kalangan bangsa Melayu dan Muslim di Malaysia secara amnya.
Sejurus membaca berita tersebut, saya terpaku dan terpana memikirkan betapa pengaruh Mawi yang digembar-gemburkan sebagai seorang yang serba boleh "agama pun boleh, menyanyi(bukan bernasyid ye.. ) pun boleh" telah merayap ke segenap pelusuk negara dan juga hati-hati mereka yang inginkan Islam yang syumul secara tidak sedar.
Sedarkah kita, Mawi, latar belakang kefahaman fikrahnya bercampur aduk? Niat asalnya menyertai AF3 ingin membantu keluarga, tetapi sebagai seorang ustaz dan bilal beliau sepatutnya telah lama memahami konsep, "matlamat tidak menghalalkan cara."
Seterusnya detik-detik perkenalannya dengan si gadis yang kemudian menjadi tunangnya pun boleh dipersoalkan dari sudut syaraknya. Mereka sama-sama berkaraoke di mana Mawi mengajarkan si dia cara menyanyikan lagu tertentu.
Gambarnya bersama tunangnya juga memperlihatkan kepada kita suasana yang tidak syarak (terlalu rapat). Keadaan Mawi sendiri sepanjang keberadaannya di dalam AF3 tidak mampu melakarkan kepada kita hakikat Islam yang sebenarnya.
Pergaulan bebas, menyanyikan lagu-lagu yang berunsurkan "lagha", bersalaman dengan bukan mahram, dan lain-lain yang cukup memberi gambaran tentang betapa bercampur aduknya fikrah beliau.
Sebarang usaha memberikan imej Islam yang sempurna dan boleh dicontohi pada dirinya seperti yang digembar-gemburkan oleh media hanyalah ibarat Islam tempelan yang dengan mudahnya dapat ditepis dan ditolak oleh mana-mana akal dan iman yang jernih.
Merujuk kepada ulasan pihak tertentu, "Kita melihat Mawi seorang artis yang berdisiplin dan mampu mempertahankan akhlak murni. Bakat itu dikesan sebelum dia menjadi juara Akademi Fantasia lagi," saya ingin memetik ulasan pembaca keluaran sulung Siasah saudara Lutfi berkenaan Mawi.
Pegang tangan
Lutfi menulis: "Tapi lebih penting, malam tadi saya tengok diari AF, terkejut melihat Mawi sudah pandai berpegangan tangan dengan Masha. Lebih memalukan apabila Mawi terpaksa mengangkat tubuh Masha dalam satu latihan tarian."
Sama-samalah kita renungkan. Inikah yang kita namakan sebagai mampu mempertahankan akhlak murni?Nilaian siapakah yang kita pegang sekarang; Allah atau manusia?
Redakah kita semua mengambil Mawi yang ternyata kefahaman Islamnya bercampur aduk sebagai ikutan dan model anak-anak remaja kita? Ya, kita digalakkan mencontohi yang baik dan meninggalkan apa yang buruk. Mungkin ada pihak yang akan mempersoalkan, mana ada manusia yang sempurna baiknya? Ya, tepat sekali.
Tetapi apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita sangat menggusarkan. Mereka yang diwar-warkan sebagai contoh dan ikutan khususnya buat para remaja bukanlah mereka yang memiliki keperibadian yang tinggi dari sudut nilaian syara’. Kefahamannya bercampur aduk.
Tambah menggusarkan kita ialah langkah pihak negeri kerajaan Kelantan yang terkenal dengan keprihatinannya terhadap hiburan Islam memilih dan menjemput Mawi untuk mengadakan konsert tersebut.
Walaupun konsep persembahan belum dibincangkan dan berkemungkinan besar kerajaan negeri tidak akan membenarkan selain persembahan nasyid tetapi pengiktirafan (pemilihan dan jemputan) ini disertai dengan layanan istimewa yang bakal disediakan buat Mawi, ibu-bapa, dan tunangnya sepanjang keberadaan mereka di Kelantan mampu mencetuskan kekeliruan di kalangan para pendokong risalah Islam yang suci, khususnya di Malaysia.
Alasan pemilihan dan jemputan Mawi, iaitu mengambil kira latar belakangnya yang berunsur keagamaan dan kini menjadi ikon golongan belia dibimbangi sebenarnya secara tidak langsung menyokong usaha pihak-pihak tertentu yang selama ini secara halus berusaha segigih mungkin meracuni cara berfikir dan mengubah nilaian para remaja Muslim.
Secara logiknya, kehadiran Mawi pastinya berbeza dengan mana-mana artis (penasyid) atau kumpulan nasyid. Walaupun terdapat golongan kumpulan nasyid yang dipersoalkan keberkesanannya dalam menyampaikan dakwah Islamiah yang sebenarnya, namun secara amnya kemunculan mereka di bawah bumbung nasyid (hiburan Islami) sebagai wasilah dakwah membantu melakar imej yang baik di mata pendokong Islam.
Manakala Mawi, imejnya tidak akan dapat lari daripada AF3 dan rakan-rakan seangkatannya, khususnya Felix,Amelya dan Marsha. Sekalipun beliau menasyidkan nasyid-nasyid Islami, saya berpendapat bahawa hal ini tidak mampu mencambahkan benih-benih keimanan di hati para pendengar, kerana mesej keimanan ini sasarannya hati; ia wajib datang dari hati yang benar2 ikhlas!
Musuh
Bagi mengakhiri bicara ini, saya ingin menegaskan bahasanya saya tidak pernah memusuhi Mawi secara peribadi. Sebarang kekurangan beliau yang saya paparkan di sini tidak sama sekali bertujuan memburukkan imejnya tapi kerana cintakan kebenaran Islam yang suci dan sangat-sangat menyedari bahaya yang akan menimpa ummah Islam khususnya di Malaysia andai Mawi diangkat darjatnya kepada ikon dan contoh teladan para remaja khususnya oleh pihak yang sentiasa mendambakan tertegaknya Islam yang syumul di dalam diri setiap individu Muslim.
Mawi, terpulanglah padanya dalam memilih jalan hidupnya tetapi kita selaku para pemerhati, wajarkah kita mempromosikannya dan mengankat martabatnya selaku contoh teladan para remaja Muslim?
Tambah bimbang melihatkan keadaan masyarakat kita yang seolah-olah terpukau dengan imejnya yang dikatakan menepati ciri-ciri ikon golongan belia sedangkan ikon belia dan Muslim yang paling berpengaruh dan relevan sepanjang zaman tidak lain tak bukan kekasih-Nya, Rasulullah s.a.w.
Saya juga dengan rendah dirinya ingin menyeru pihak kerajaan negeri Kelantan menimbang semula pemilihan dan jemputan tersebut atas rasional yang telah dikemukakan. Sesungguhnya setiap gerak langkah para da’ie menjadi tumpuan masyarakat umum yang kebanyakannya masih teraba-raba mencari sinar kebenaran. - um